ARKIB : 05/10/2009
Rakyat Perak tetap sayangkan institusi beraja
MENJUNJUNG kasih di atas perkenan DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa mencemar duli berangkat ke majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Keluarga Jamalullail 'Perak' Malaysia di Masjid Tok Bayas, Lasah, Sungai Siput (U) pada 26 September lalu.
Persatuan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak jabatan kerajaan seperti JKR, SUK, Pejabat Daerah dan Pejabat Sultan yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan majlis hari raya ini. Begitu juga wakil-wakil rakyat negeri Perak, pembesar negeri serta pegawai kerajaan yang turut merayakannya.
Hampir seribu orang ahli dan orang ramai, terutama sekali penduduk kampung, begitu gembira apabila dapat bermesra dengan DYAM Raja DiHilir Perak dan baginda juga tidak keberatan mengambil gambar bersama-sama penduduk tempatan di situ.
Apa yang saya ingin ungkapkan bahawa rakyat negeri Perak masih sayangkan institusi beraja dan taat setia dan mencurahkan rasa cinta kepada Raja mereka tidak dapat dibendung lagi.
Adalah menjadi tradisi turun-temurun bahawa bangsa Melayu ini sentiasa berada di belakang Raja pada bila-bila masa dan sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan raja mereka kerana itu adalah sumpah datuk nenek kita dahulu.
Menderhaka kepada raja bermakna kita telah termakan sumpah dan telah mencemarkan nama baik keturunan kita.
Menjadi harapan rakyat negeri Perak agar pada masa akan datang keluarga diraja negeri Perak Darul Ridzuan dan juga pembesar istana yang lain sudilah berangkat ke kampung beramah mesra dengan rakyat jelata kerana mereka ingin melihat wajah raja mereka dari dekat sambil dapat mengenali raja mereka.
Sebagaimana titah DYAM Raja DiHilir Perak pada majlis Hari Raya Aidilfitri itu di mana baginda terharu dengan sambutan yang diberikan dan mahukan persatuan lain menjejak langkah sebagaimana yang diusahakan oleh Persatuan Keluarga Jamalullail 'Perak' Malaysia menjemput pihak istana ke majlis mereka dan dengan cara ini boleh merapatkan lagi hubungan antara rakyat dan raja mereka.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLLAIL
Yang Dipertua
Persatuan Keluarga Jamalullail Perak
No comments:
Post a Comment