Anak angkat - Jangan nasabkan keluarga angkat
ANAK angkat atau anak pungut. Itu hanya sekadar istilah yang diberikan atau digunapakai oleh manusia. Hakikatnya mereka sama seperti manusia lain atau insan ciptaan Allah s.w.t.
Cuma yang membezakannya, ialah mereka dilahirkan bukan daripada ibu keluarga tersebut.
Demikian, menurut pandangan pensyarah di Jabatan al-Quran dan Hadis, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sabri Abdul Rahman, mengulas layanan yang sewajarnya ke atas anak angkat.
Penegasan ini juga kata beliau, berpandukan kenyataan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak beriman seseorang itu melainkan apabila dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya pada dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menjelaskan hadis di atas lagi, kata Sabri ia membawa pengertian bahawa anak angkat adalah juga insan biasa dan makhluk Allah. Oleh kerana itu, Nabi menjelaskan bahawa anak angkat dengan anak sendiri adalah sama dari segi kasih sayang dan hak-hak tertentu.
Malah dalam soal pengambilan anak angkat daripada perspektif Islam, ujar Sabri, ia adalah amalan yang baik kerana ia melibatkan sikap tolong menolong dan saling membantu sesama manusia.
Pun begitu, tegas beliau, walau bagaimana sayang sekalipun ibu bapa angkat tersebut terhadap anak angkat mereka, terdapat beberapa peraturan di dalam Islam yang mesti dipatuhi.
Di antaranya, hukum-hakam berkaitan masalah nasab atau keturunan, aurat dan pewarisan harta pusaka. Ia melanggar perintah Allah s.w.t. dan merupakan satu pembohongan kepada Allah.
Ikuti panduan dan bimbingan berkaitan anak angkat bersama Sabri yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Soalan: Apakah kriteria yang perlu diambil kira oleh seseorang yang berhasrat mengambil anak angkat?
Jawapan: Menerusi pengalaman saya, apabila pasangan itu bercadang mengambil anak angkat, perkara utama yang perlu dilihat ialah memastikan latar belakang keluarga asal anak tersebut.
Contohnya, adakah anak tersebut anak luar nikah, berasal daripada keluarga yang mempunyai penyakit keturunan atau keluarga yang susah kehidupannya.
Aspek latar belakang ini penting supaya dalam masa yang sama, keluarga angkat tersebut dapat membuat persediaan, sama ada dari segi mental dan fizikal. Ini berkemungkinan dibimbangi perlakuan anak tersebut akan mirip kepada latar belakang keluarga kandungnya.
Secara tidak langsung juga, ibu bapa angkat akan lebih mudah mendidik anak tersebut.
Apakah tanggungjawab yang dipikul oleh keluarga angkat sebaik sahaja mengambil anak angkat?
Tanggungjawab pendidikan ke atas anak-anak itu adalah perkara paling utama diterapkan. Pendidikan itu sama seperti kita mendidik anak sendiri, iaitu dari segi ilmu agama, akademik, kemahiran dan sebagainya.
Ia bersesuaian dengan hadis bermaksud: Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka kedua-dua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibu bapa yang dimaksudkan dalam hadis tersebut, tidak terbatas kepada ibu bapa kandung tetapi setelah kita mengambil seorang bayi, secara tidak langsung, bayi tersebut berada di bawah tanggungjawab kita mendidiknya.
Kecualilah, sekiranya kita mengambil anak angkat yang sudah dewasa atau sudah baligh, itupun masih menjadi tanggungjawab kita untuk membentuk.
Namun, bagi yang mengambil anak angkat dari peringkat bayi, tanggungjawab keluarga angkat adalah lebih berat sedikit.
Bagaimana pula yang mengambil anak angkat sekadar terikut-ikut dengan saranan ahli keluarga atau orang lain? Ini kerana ramai yang beranggapan, dengan mengambil anak angkat, Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada mereka anak sendiri?
Pengambilan anak angkat seperti ini tidak dilakukan dengan rasa keikhlasan dan sekadar memenuhi kehendak orang lain. Umpamanya, tiada persiapan secukupnya.
Dalam hal ini, suami dan isteri tersebut dikira berdosa. Sungguhpun, tidak diketahui sejauhmana dosa tersebut kerana ia tidak dijelaskan secara khusus, sama ada di dalam hadis mahupun al-Quran.
Tambahan pula, perintah Tuhan yang mengatakan bahawa tanggungjawab ibu bapa ialah memberikan bukan sekadar kasih sayang kepada anak-anak tetapi banyak aspek lain yang telah disarankan oleh agama Islam dalam hal berkaitan hak kanak-kanak.
Bilakah waktu yang dikatakan sesuai untuk memberitahu kebenaran atau status anak tersebut?
Saya pernah menasihati satu pasangan yang mengambil anak angkat supaya status anak tersebut perlu diberitahu seawal mungkin, agar tidak menjejaskan keharmonian hubungan antara mereka.
Seelok-eloknya selepas mereka berada dalam alam persekolahan rendah, kebenaran ini wajar diberitahu secara berperingkat-peringkat, dan paling utama dengan cara penuh diplomasi serta menggunakan pendekatan yang bijak lagi berhemah.
Ini supaya anak angkat tersebut akan dapat menilai kasih sayang yang dicurahkan oleh keluarga angkat kepada dirinya.
Di samping itu juga, mungkin dia dapat mengetahui kedudukan sebenar mengapa dia diberikan kepada orang lain. Ini juga membantu memperbaiki hubungan dengan keluarga kandung.
Membataskan
Malah bagi anak angkat, tidak kira perempuan atau lelaki, kebaikan di pihak mereka ialah dapat membataskan pergaulan atau aurat mereka dengan ahli keluarga yang lain.
Selain itu, memudahkan urusan perkahwinan (bagi anak angkat perempuan) untuk mencari wali yang sebenar dalam menyelesaikan urusan pernikahan.
Naluri untuk mengenali keluarga kandung itu tidak boleh lari dalam diri setiap anak yang bergelar anak angkat.
Pun begitu, ibu bapa angkat tidak perlu bimbang dan kenalah ber-
sikap terbuka, kerana selagi kita
berlaku baik dan melayan adil kepada anak-anak ini, insya-Allah mereka akan mengingati insan yang membesarkan, memberi didikan dan kasih sayang sehingga mereka dewasa.
Tidak mustahil sesuatu yang buruk boleh berlaku, sekiranya mereka mengetahui tentang kebenaran tersebut apabila dewasa atau apabila hendak berkahwin (bagi yang perempuan).
Kesannya akan lebih buruk kerana banyak tanggapan yang negatif lahir pada diri anak tersebut. Akhirnya, si anak bukan sahaja membenci keluarga kandung tetapi turut melibatkan keluarga angkat, yang selama ini membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan sama rata.
Sanggup merahsiakan status anak angkat kerana takut anak tersebut kembali kepada keluarga asal, adalah satu perbuatan yang tidak berapa elok, kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya yang sebenar.
Kalau begitulah tindakan ibu bapa kandung tersebut, tidak mustahil anak tersebut akan lari daripadanya juga akhirnya.
Apakah ada disebutkan di dalam al-Quran atau hadis tentang pahala mereka yang mengambil anak angkat?
Pahalanya memang ada tetapi berapa banyak itu terserah kepada Allah s.w.t. Ini kerana setiap kebajikan yang dibuat memang ada ganjarannya.
Sebagaimana yang termaktub di dalam surah al-Qasas ayat 77 bermaksud: Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.
Kebiasaannya hubungan kasih sayang antara anak-anak dengan ibu bapa diluahkan menerusi pelukan dan ciuman. Bagaimana pula sekiranya anak angkat diperlakukan sama tanpa ada perasaan nafsu sedikitpun?
Hukum aurat tetap berjalan walau seakrab manapun hubungan antara dua beranak ini. Biarpun diketahui bahawa peluk cium itu bukan atas dasar nafsu tetapi lebih kepada kasih ibu bapa kepada anak.
Nafsu atau tak nafsu, macam mana kita hendak menjawab kes-kes sumbang mahram yang banyak berlaku kini.
Walau apapun, kasih sayang tidak boleh dibezakan dengan anak-anak kita. Contohnya dari segi perbelanjaan harian, hendaklah diberikan sama rata ataupun dari segi perhatian dan kasih sayang. Malah hingga kepada soal makanan.
Mengambil anak angkat untuk membantu mengurangkan beban sesebuah keluarga merupakan satu kebajikan yang sangat digalakkan di dalam Islam, tetapi ia perlu dibuat berhati-hati, terutamanya dalam permasalahan nasab. Tolong ustaz jelaskan mengapa anak angkat tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat?
Ayah dan ibu angkat boleh berkahwin dengan anak angkat mereka. Ini untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hubungan langsung dari segi mahram.
Semua ini dilakukan untuk menyelamatkan keluarga dan mempertahankan kesucian Islam. Sebab itulah, setiap anak angkat mestilah dibinkan atau dibintikan dengan bapa kandungnya. Soal kasihan tidak timbul kerana peraturan tetap peraturan.
Selain itu, anak angkat juga tidak mempunyai sebarang hak dalam mewarisi harta pusaka. Pun begitu, mereka boleh diberikan harta melalui cara lain. Contohnya hibah.
Bagi anak angkat yang diketahui nama bapanya, mestilah diletakkan nama bapa kandungnya. Cuma dalam kes-kes yang tidak diketahui bapanya, maka digunakan nama Abdullah.
Kesan
Banyak kesan mengapa anak angkat ini tidak boleh dinisbahkan kepada bapa angkat. Pertama, harta benda. Kedua, satu-satu keturunan itu ada keistimewaannya yang tertentu. Kalau dia dibinkan kepada orang yang tidak baik, maka ia membawa kesan kepada masa depannya.
Sekiranya anak angkat dibinkan dengan nama bapa angkat, maka hubungan atau aurat mereka dengan adik-beradik daripada keluarga angkat yang pada hakikatnya boleh berkahwin, akan menimbulkan masalah.
Sejarah menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah membezakan antara cucu angkatnya, Usamah bin Zaid dengan cucunya sendiri, Hassan bin Ali.
Rasulullah melayan kedua-dua orang cucunya dengan adil. Baginda meletakkan kedua-duanya di atas pangkuannya. Ini membayangkan betapa kasih dan sayangnya baginda kepada kedua-dua cucunya ini.
Maknanya dari segi kasih sayang, kena diberi sama rata, tidak kiralah sama ada ia anak angkat atau anak sendiri.
Kesukaran dalam proses mendapatkan surat beranak dan urusan tertentu, bolehkah dikira sebagai darurat dan bolehkah dengan sebab kepayahan ini, anak angkat dinasabkan kepada nama bapa angkat?
Kalau sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t. tidak boleh, maka kita mestilah patuh. Perkara darurat dalam hukum fikah membawa maksud perkara yang boleh membawa kecederaan parah, kehilangan anggota. Contohnya, kalau tidak minum arak atau memakai tudung, akan dipotong tangan. Maka dalam situasi ini, ia mesti dituruti. Keadaan ini baru dikira darurat.
Oleh itu di dalam kes memberikan nasab, ia telah ada di dalam ketetapan Allah (al-Ahzab: 5).
Lantaran itu, umat Islam atau mereka yang mengambil anak angkat, sepatutnya akur mengenai soal hukum-hakam yang berkaitan.
Hikmah yang tersirat daripadanya hanya Allah s.w.t. yang mengetahui.
salam.. boleh saya tahu kitab dan rujukan yg digunakan. terima kaseh
ReplyDelete