Thursday, September 23, 2010

TAKZIAH KEPADA KELURGA ALLAHYARHAM YANG MULIA TUAN HAJI SYED ARIFFIN BIN SYED AHMAD (1920 - 2010)



Pada Disember 1920, lahirlah sorang putera yang dinamakan YM Tuan Haji Syed Ariffin bin Syed Ahmad bin Syed Jeladin bin Syed Uda Tapa bin Syed Usoh bin Syed Alwi bin Syed Abu Bakar bin Syed Jalalluddin( Tok Tambak Pulau Pisang) bin Syed Abdul Majid bin Syed Abu Bakar bin Syed Hassan bin Syed Hussein Al Faradz Jamalullail .Beliau mempunyai seramai 12 orang adik beradik iaitu terdiri daripada 7 lelaki dan 5 perempuan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tuan Habeb Muda pada masa mudanya telah ditawarkan untuk menyertai polis dan tentera darat, namun beliau lebih berminat sebagai tentera laut. Maka diusia 19 tahun, pada 20 haribulan disember tahun 1939, telah rasmilah beliau menjadi sebahagian daripada anggota tentera laut yang ketika itu berpengkalan di Neval Base di selatan Pulau Singapura. Nombor tentera beliau ketika itu ialah 862. beliau berpeluang berkhidmat diatas kapal perang HMS Pelanduk dan HMS Vyner Brooke.

Mengimbas kembali kenangan ketika berkhidmat, tidak dapat dilupakan pengalaman ketika terlibat dalam perang dunia kedua menentang tentera kamikaze jepun. Ketika itu 7 kapal perang British yang terbesar telah berlabuh di Singapura untuk mempertahankan Malaya ketika itu termasuklah kapal HMS Prince of Wales dan HMS Rafel. Tuan Hebeb Muda ketika itu telah dipertanggung jawapkan untuk mengendalikan meriam ‘Anti Aircraft Carrier’ di atas kapal HMS Pelanduk dengan berbekalkan 250 biji peluru.

Menceritakan detik cemas ketika itu, pertahanan Malaya telah berjaya ditembus oleh tentera Jepun dengan tenggelamnya kapal-kapal Perang British termasuklah Prince of Wales dan Rafel. Anggota keselamatan yang berpengkalan di Singapura juga telah dihujani oleh peluru sehingga memaksa mereka untuk berundur untuk mencari tempat berlindung. Di darat pula pada masa yang sama, Leftenan Adnan menyabung nyawa cuba mengekang kemaraan Jepun walaupun keadaan sangat getir dimana pihak Jepun telah mengepung pihak keselamatan dari Utara dan Selatan. Tuan Habeb Muda masih teringat ketika itu ketuanya, Kapten Vecus dan anggotanya telah dibom oleh pihak Jepun ditengah laut.

Saat itu, anggota keselamatan yang berundur terpaksa hidup sebagai pelarian untuk mengelak dari dikesan tentera Jepun sehinggalah perang tamat apabila Jepun menyerah kalah. Tuan Habeb Muda bersara dari tentera laut pada tahun 1947 dengan berpangkat ‘Leading Royal Sea Man’ iaitu setaraf dengan Sarjan didalam TLDM sekarang.

Beliau kembali ke kampung halamannya di Parit, Perak. Berbekalkan karisma dan sifat kepimpinan yang ada pada beliau, kepercayaan diletakkan kepada beliau untuk menabur bakti sebagai Ketua Rukun Tetangga, Ketua Kampung Tanjung Aur dan antara pengasas UMNO di Parit Perak. Beliau juga dianugerahkan pingat PJK dan PKP sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha dan pengorbanan beliau. Beliau juga aktif dalam Persatuan Keluarga Jamalullail Perak dimana beliau adalah penasihat persatuan dan menjadi antara tenaga penggerak utamanya. Sumbangan beliau kepada persatuan amat sukar dibayangkan dengan kata – kata dan tidak ternilai dengan wang ringgit. Kegigihan beliau mengumpul data dan merekod salasilah keluarga selama hamper 30 tahun hidupnya menjadikan beliau tempat rujukan kepada seluruh keturunan Jamalullail Perak dari seluruh dunia.

Pada maghrib 18 haribulan September 2010, ketika berusia 90 tahun, semasa umat Islam masih lagi dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri, yang disayangi dan dikasihi, Tuan Habeb Muda telah kembali menemui Allah swt. Hati ini mengharapkan YM Habeb Muda hidup 1000 tahun lagi, namun janji Allah swt itu pasti. Kenangan bersama beliau, nasihat, ilmu dan senda guraunya akan dibawa sampai keakhir hayat. Syukur kapada Allah swt kerana sempat bertemu beliau semasa hayatnya. YM Tuan Syed Ariffin bin Syed Ahmad Jamalullail, sesunguhnya Tuan Habeb adalah permata dan kebanggaan kami. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Sehingga bertemu kembali bersama datuknya,junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Al Fatihah untuk roh Allahyarham

1 comment: